Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997. Sebelum ini UPSI dikenali sebagai Institut Perguruan Sultan Idris. Kampus UPSI terletak di Tanjung Malim, Perak. Cogan kata UPSI ialah "Pengetahuan Suluh Budiman", manakala lagu rasminya ialah "Ibu Kandung Suluh Budiman".
UPSI dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris (Sultan Idris Training College atau SITC) di Tanjung Malim. Namanya sempena nama Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Isk andar yang memerintah negeri Perak dari 26 Jul 1887 - 14 Jan 1916. Baginda lahir pada tahun 1849 dan mangkat pada tahun 1916. Sejarah penubuhan UPSI bermula dengan cadangan R.O. Winstedt untuk memusatkan maktab-maktab perguruan Melayu. Setelah mendapat persetujuan Sultan Abdul Jalil Perak, Pesuruhjaya Tinggi British telah mengumumkan untuk menubuhkan sebuah Maktab Pusat yang besar bagi guru-guru Melayu sebagai kenang-kenangan kepada Almarhum Sultan Idris Ibni Almarhum Raja Iskandar, Perak. Maktab yang dinamakan The Sultan Idris Training Collge for Malay Teachers yang dikenali dengan nama ringkasnya sebagai SITC telah dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 29 November 1922.